Rakyat yang akan rugi jika Kerajaan Madani digulingkan, kita akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya. - Anwar Ibrahim

Rakyat yang akan rugi jika Kerajaan Madani digulingkan, kita akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya. - Anwar Ibrahim

Kerajaan Perpaduan dan pihak pembangkang sekali lagi kembali menghangatkan situasi politik negara pada masa kini.

Di kala kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sibuk dengan usaha membina ekonomi negara, sudah ada ura-ura percubaan untuk menggoyahkan kestabilan pentadbiran Kerajaan Madani ini.


Bagaimanapun, Anwar ketika berucap di Rumah Terbuka Malaysia Madani Perdana Menteri 2023 pada Sabtu, lantang mencabar pihak pembangkang supaya membawa usul tidak percaya di Parlimen pada sidang akan datang.

Ahli Parlimen Tambun itu dengan yakin menyatakan bahawa kerajaan masih ‘solid’ dan kekal kukuh dengan sokongan 148 kerusi ahli Parlimen.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau bukan Perdana Menteri seperti sebelum ini yang mengelak untuk berdepan dan berentap dalam soal siapa mempunyai keabsahan di Parlimen.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menunjukkan bahawa beliau tidak takut dengan cabaran sedemikian atau mungkin sudah mempunyai perancangan dan ‘back up’ yang kukuh sekiranya berdepan dengan situasi tersebut.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan ketika ini memiliki sokongan 148 kerusi atau majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat menggabungkan PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) serta Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Pada Jumaat, media melaporkan komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akaun bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Susulan itu, ulas Anwar, Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal walaupun ada cubaan untuk menjatuhkannya.

Anwar turut menyindir dakwaan yang dibuat itu sambil menyatakan perkara itu sebagai 'mengigau mingguan'.

Sindiran mimpi ‘mengigau’ itu nampak telah menyebabkan beberapa pimpinan turut tampil mengulas mengenai dakwaan tersebut termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Sabtu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata bahawa PN tidak pernah 'mengigau' mempunyai akuan bersumpah (SD) mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Menurut beliau, sebaliknya, Anwar yang 'mengigau' kerana takut kedudukannya akan diambil alih.

Sementara itu, Ahmad Zahid pada Sabtu turut mengesahkan bahawa tiada ahli Parlimen BN yang akan meninggalkan parti tersebut.

Menurutnya, walaupun terdapat desas-desus mengenai 15 ahli Parlimen BN yang mahu meninggalkan kerajaan perpaduan tetapi perkara itu tidak berlaku.

Apa yang pasti permainan tarik tali antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang berkemungkinan berterusan sehingga ruang Parlimen dibuka pada hujung Mei tahun ini.




@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!