Kerajaan Perpaduan berlaku adil dalam pengurusan ekonomi - Rafizi


Kerajaan Perpaduan berlaku adil dalam pengurusan ekonomi - Rafizi

KUALA LUMPUR - Kerajaan dan negara perlu mengambil peluang dari momentum pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan untuk meneruskan fokus penstrukturan ekonomi yang akan mengurangkan keterdedahan Malaysia kepada cabaran ekonomi di masa hadapan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beberapa langkah penstrukturan ekonomi yang telah berjalan dan akan dipercepatkan termasuk penstrukturan sektor tenaga untuk peralihan campuran tenaga elektrik kepada tenaga boleh baharu (TBB).

Kerajaan telah mengumumkan beberapa dasar baharu pada bulan Mei ini dan pengumuman seterusnya akan dibuat dalam masa terdekat mengenai langkah-langkah kerajaan mempermudahkan dan menyebarluaskan penggunaan tenaga solar di kediaman domestik.

"Ini bertepatan dengan keputusan kerajaan untuk menyasarkan subsidi elektrik supaya subsidi elektrik dikekalkan kepada kumpulan B40 dan M40 manakala kumpulan pengguna dalam golongan T20 akan mula membayar pada tarif yang lebih hampir dengan harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, Rafizi berkata, kerajaan juga akan mempercepatkan peralihan dasar sosio ekonomi kerajaan dari pendekatan berasaskan pendapatan kepada pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah.

"Pengumuman kerajaan mengenai penubuhan Pangkalan Data Utama dijangka mempercepatkan peralihan kerajaan untuk membangunkan program dan inisiatif berpandukan kedudukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Ekonomi juga akan menyelaras dengan kementerian dan agensi supaya kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek mesra rakyat di seluruh negara.

Ia adalah sebagai sebahagian daripada usaha untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara sementara projek-projek baharu yang diluluskan di dalam Belanjawan 2023 mula dilaksanakan.

Mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi negara, Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi menyambut baik pertumbuhan ekonomi negara bagi suku pertama 2023 di mana pencapaian tersebut lebih baik berbanding jangkaan penganalisis ekonomi yang meletakkan pertumbuhan sebanyak 4.9 peratus bagi suku tersebut.

"Pertumbuhan ini melebihi jangkaan umum, saya sedia maklum bahawa negara berdepan dengan cabaran ekonomi global yang akan terus mempengaruhi permintaan kepada eksport Malaysia terutamanya dalam suku-suku yang akan datang,” katanya.

Malaysia merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku pertama 2023 sebanyak 5.6 peratus, disokong oleh permintaan domestik, pertumbuhan kukuh pasaran buruh dan peningkatan berterusan gaji yang menyokong perbelanjaan penggunaan.







@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!