Enam hari teguk air lopak untuk terus hidup


Enam hari teguk air lopak untuk terus hidup

Kuala Nerus: "Sepanjang enam hari berada dalam hutan, saya tidak makan apa-apa sebaliknya hanya minum air lopak sahaja.

"Setiap masa saya cuba mencari jalan keluar, namun gagal dan pandangan saya seolah-olah ditutup," kata Mohd Azani Alias, 37, yang hilang selama enam hari ketika keluar memikat burung di hutan Bukit Sudu, di sini, sejak Isnin lalu.

Menceritakan semuala kejadian, Mohd Azani berkata, selepas buntu menemui jalan keluar, dia tidak henti-henti berdoa supaya tidak berlaku kejadian buruk terhadapnya.

Menurutnya, dia juga memilih untuk tidur di atas pokok sebagai langkah keselamatan kerana bimbang didatangi binatang buas.

"Saya menjerit meminta pertolongan dengan harapan ada orang mendengar, namun semuanya hampa apabila tiada seorang manusia ditemui dalam hutan berkenaan.

"Malah, saya turut terserempak dengan babi hutan dan dua ekor beruang, tetapi bersyukur tidak diapa-apakan," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, di sini, hari ini.

Mohd Azani berkata, sebelum ini dia pernah tersesat dalam hutan ketika memikat burung, namun berjaya menemui jalan keluar.

Menurutnya, kejadian kali ini sedikit pelik sekali gus membuatkan dirinya bertaubat untuk memikat burung pada masa depan.

"Saya masuk ke hutan bersama tiga beg mengandungi barangan memikat burung dan hari kedua kejadian, saya membuangnya dengan harapan ada orang menemui barangan itu.

"Malah, memasuki hari keenam saya bertekad dengan berkata tidak mahu lagi memikat burung selepas ini dan bersyukur tidak lama kemudian berjaya menemui jalan keluar.

"Saya tidak tahu jika semalam tidak menemui jalan keluar juga, mungkin sudah tiada apabila tubuhnya tidak bermaya selepas turun naik mendaki hutan selama enam hari," katanya yang mengalami luka tapak kaki, tangan dan badan akibat terkena pokok duri.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan seorang buruh yang dipercayai hilang sejak enam hari lalu ketika memikat burung di Hutan Bukit Sudu, di sini, ditemukan selamat selepas keluar dengan sendiri dari hutan berkenaan.

Mangsa dikatakan berjaya keluar ke Kampung Lingai, Batu Rakit dan seorang penduduk kampung membawa mangsa ke pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Felcra Bukit Sudu pada 3.40 petang semalam.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!