VIDEO - Remuk hati tengok jentolak roboh rumah depan mata... 40 tahun duduk atas tanah TOL, tiba-tiba diusir keluar!


Remuk hati tengok jentolak roboh rumah depan mata... 40 tahun duduk atas tanah TOL, tiba-tiba diusir keluar!

KEHILANGAN tempat berteduh dalam sekelip mata pastinya memberi tamparan hebat kepada sesiapa sahaja.

Begitulah yang dialami sebuah keluarga selepas rumah yang dibina dan didiami hampir 40 tahun dirobohkan pihak berwajib.

Menerusi rakaman video berdurasi 58 saat yang dikongsikan di TikTok, penghuninya terpaksa memindahkan kesemua barangan serta merta sebelum rumah dirobohkan.

Berdasarkan kapsyen, difahamkan rumah tersebut dibina di atas tanah berstatus lesen pendudukan sementara atau TOL.

Dakwa individu yang berkongsi video itu, pemilik rumah sudah membuat permohonan kepada pejabat tanah berhubung status tersebut, namun urusan untuk mendapatkan geran gagal.

"Setelah hampir beberapa puluh tahun duduk, dah mohon dengan pejabat tanah untuk TOL... akhirnya yang berduit dapat geran dulu," katanya pada ruangan kapsyen.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi insiden berkenaan berlaku.

Kisah yang meruntun hati warganet itu tular hingga video yang dikongsikan menerima lebih 2.5 juta tontonan di TikTok.

Bahkan sehingga kini video itu dikongsikan lebih 3,820 pelayar selain turut disiarkan di beberapa platform media sosial lain.

Melihatkan kepada kesusahan yang dialami itu, kebanyakan warganet meminta aktivis terkenal, Ebit Lew dan pengendali platform Founder Misi untuk tampil membantu.

"@foundermisi @ustazebitlew tolong bantu ya, saya support dana semampu saya.

Ebit Lew tolong keluarga ni... semoga ada hikmah di sebalik apa yang terjadi sekarang.

"@Founder Misi tuan yang berkenaan memang kita akur itu tanah TOL... harap tuan buat satu misi rakyat untuk keluarga ini, meronta-ronta prihatin kami semua," ujar segelintir netizen di ruangan komen.

Pun begitu, tidak kurang juga yang mempersoalkan pemilik video serta keluarga terlibat kerana tidak berusaha mencari tempat tinggal lain walhal sudah mengetahui tanah yang diduduki adalah berstatus TOL.

"TOL ni hanya pendukkan sementara... kalau tak silap TOL ni tak boleh bina rumah kediaman, macam mana sebelum ni boleh bina rumah atas tanah ni?

"Payah kalau duduk atas tanah bukan hak milik kita, tak kira duduk 100 tahun sekali pun. Kalau dah dia kata nak, dia tak fikir... kita tak boleh buat apa.

"Kita dah tahu yang tanah TOL ni hanya sementara, jika mana-mana kerajaan nak buat sesuatu maka dia ambil, risiko ni kita dah tahu awal-awal... jadi janganlah salahkan," ujar beberapa netizen lagi.

Bagaimanapun, keluarga terbabit mendakwa mereka tidak diberikan notis untuk mengosongkan tapak berkenaan sebelum kerja-kerja merobohkan bangunan dilakukan.

Mereka turut mendakwa pihak berwajib datang secara melulu selain turut tidak memberikan sebarang pampasan.

Tambahnya, proses merobohkan rumah mereka itu dilakukan oleh pemaju hartanah dan bukannya pihak kerajaan.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!