Agong, Permaisuri berangkat kunjungan hormat Raja Charles III




Agong, Permaisuri berangkat kunjungan hormat Raja Charles III

"Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah"

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Britain Raja Charles III di Istana Buckingham, United Kingdom (UK) pada Rabu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Samsuddin berkata, kunjungan hormat itu bersempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London selama enam hari bermula 10 Oktober hingga Ahad ini.


Menerusi catatan dalam Facebook Istana Negara, Ahmad Fadil berkata, pada sesi kunjungan hormat selama 40 minit yang bermula jam 3 petang waktu tempatan, Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Katanya, Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu-isu hubungan dua hala antara Malaysia dengan UK termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Stesen Janakuasa Battersea, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London yang dirasmikan oleh baginda selepas sesi kunjungan hormat itu.

"Keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Charles III yang kedua-dua pemimpin menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja di pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa," katanya.

Menurut Ahmad Fadil, kunjungan hormat itu yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dengan UK sejak kemerdekaan 65 tahun lepas.


Pada 18 September lepas, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berangkat menghadiri majlis resepsi yang dihoskan Raja Charles III di Istana Buckingham.

Sehari selepas itu, Seri Paduka berdua turut berkenan berangkat ke Westminster Abbey bagi menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II yang mangkat pada 8 September. - Bernama

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!