Pengadu enggan buat laporan polis, anggap diri ‘orang biasa’ – Saksi

Saya orang kecil, Ebit orang besar

"Saksi pertama pendakwaan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew itu berkata, dia menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengaku menjadi mangsa gangguan seksual termasuk dilakukan Ebit."

TENOM – Pakar motivasi, Mohd. Fairuz Abu, 37, memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa pengadu pada awalnya enggan membuat laporan polis kerana menganggap dirinya berstatus orang biasa.

Saksi pertama pendakwaan kes gangguan seksual melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew itu berkata, dia menerima puluhan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada individu yang mengaku menjadi mangsa gangguan seksual termasuk dilakukan Ebit.

“Terdapat salah seorang individu (identiti tidak boleh didedahkan) menghubungi pada 26 Julai 2021 sekitar jam 11.04 malam untuk bertanyakan maksud ‘posting’ (hantaran) laman Facebook yang dimuat naik.

“Apabila saya sebut individu yang dimaksudkan itu Ebit Lew, pengadu terus berkongsi tangkap layar yang menunjukkan perbualan antara Ebit dengannya termasuklah hantaran gambar alat sulit yang diberikan menerusi WhatsApp.

“Terdapat juga mangsa lain yang membuat aduan pernah menjadi mangsa gangguan seksual Ebit, namun tidak mahu meletakkan nama ekoran takut tampil ke hadapan,” katanya.

Mohd. Fairuz berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani pada prosiding hari pertama perbicaraan Ebit Liew.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa ada menasihatkan pengadu supaya membuat laporan polis walaupun enggan kerana menganggap diri hanya ‘orang kecil’ dan Ebit sebagai ‘orang besar’.

Mohd. Fairuz memberitahu mahkamah yang dia memaklumkan kepada pengadu (identiti pengadu tidak boleh didedahkan) bahawa ramai lagi yang akan diganggu secara seksual oleh Ebit sekiranya ruang dan peluang tidak digunakan untuk membuat laporan polis.

Bagaimanapun, peguam Ram Singh yang mewakili Ebit membantah jawapan saksi tersebut ekoran berpendapat jawapan ‘bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew’ bersifat tuduhan yang tidak mempunyai bukti.

Menurutnya, jawapan itu tidak boleh direkodkan kecuali jika ada bukti laporan polis.

Zahida membalas bantahan Ram Singh dengan menyatakan apa yang dikatakan saksi adalah perbualan antara dia dengan pengadu.

Mohd. Fairuz memberitahu mahkamah lagi, laporan polis akhirnya dibuat oleh tertuduh dan dia telah dipanggil untuk memberi keterangan.

“Saya juga dipanggil untuk menjadi saksi bagi diambil kenyataan oleh polis dan telefon jenama OnePlus telah diserahkan kepada polis,” katanya.

Ebit didakwa atas 11 pertuduhan melibatkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp pada 18 Februari lalu.

Perbicaraan kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan Ebit berlangsung selama empat hari sehingga 30 September ini.



@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!