Polis berjaya selamatkan bayi yang dilarikan, mahu dijual kepada sindiket


Polis berjaya selamatkan bayi yang dilarikan, mahu dijual kepada sindiket

"Jelasnya, dia kaku dan lemah apabila pengasuhnya yang juga warga emas memaklumkan cucu perempuannya sendiri yang melarikan anaknya. Ketika itu wanita tersebut sedang solat."

SEBERANG PERAI – “Jantung macam nak luruh bila diberitahu anak saya dilarikan sekumpulan individu tapi kini saya bersyukur kerana bukan sahaja dia selamat malah polis turut berjaya mengesan suspek yang terlibat.”

Demikian luah Farisha Amirah Zainal, 24, ibu kepada bayi, Noor Raisya Mohamad Rahimi, sembilan bulan yang dilarikan sekumpulan individu dalam satu kejadian di Taman Pauh Perai di sini semalam.

Mencerikan kejadian, Farisha Amirah dikejutkan dengan berita kehilangan anak perempuannya pada pukul 5.30 petang sebaik pulang dari tempat kerja dan dalam perjalanan mengambil anaknya dari rumah pengasuh.

Jelasnya, dia kaku dan lemah apabila pengasuhnya yang juga warga emas memaklumkan cucu perempuannya sendiri yang melarikan anaknya. Ketika itu wanita tersebut sedang solat.




“Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) memaklumkan perkara sedemikian. Susulan itu, saya menelefon keluarga termasuk yang di kampung bagi memaklumkan kejadian sebelum suami saya pergi membuat laporan polis.

 Sampai pukul 9 malam kami (saya dan suami) masih berurusan dengan pihak polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat.

“Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. Susulan itu, saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Farisha Amirah, sejam kemudian, dia dan suami menerima panggilan daripada polis memaklumkan mereka telah berjaya mengesan suspek namun bayi yang dilarikan tiada bersama.

Katanya, meskipun diberitahu anak mereka belum lagi ditemui namun naluri tetap mengatakan bayi itu akan diselamatkan dan pulang ke pangkuannya


Syukur sangat selepas 10 minit kami dapat panggilan mengatakan anak saya ditemui dalam keadaan selamat dan dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan.

“Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalunya dengar cerita sahaja anak diculik tapi tak sangka kami sendiri lalui kejadian ngeri itu.

“Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran melalui negeri di Pantai Timur,” jelasnya yang berasal dari Changlun, Kedah.

Tambahnya, sehingga kini, dia masih trauma atas kejadian tersebut selain mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaga anaknya sepenuh masa.

“Saya sudah serik nak bagi orang lain jaga anak dan kami sekeluarga harap mereka yang terlibat dikenakan hukuman setimpal agar kejadian yang sama tidak berulang kepada ibu bapa lain,” katanya.

Terdahulu, lima individu termasuk seorang remaja bawah umur yang dipercayai terlibat dalam kes melarikan bayi berkenaan direman di Mahkamah Bukit Mertajam di sini hari ini.

Mereka yang terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik. – MalaysiaGazette



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!