Pegawai Kanan Syarikat Kerajaan Negeri terlibat dengan rasuah RM 1.7 Juta didakwa

Pegawai Kanan Syarikat Kerajaan Negeri terlibat dengan rasuah RM 1.7 Juta didakwa

"Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya"

SHAH ALAM - Seorang pegawai kanan anak syarikat milik kerajaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mencadangkan lantikan terus sebuah syarikat bagi kontrak bernilai lebih RM1.7 juta pada Mac 2020.

Tertuduh Mazlan Mahadi, 51, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.


Mengikut pertuduhan, Mazlan didakwa menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan di Selangor Smart Delivery Unit Innovations Sdn Bhd (SSDU Innovations) untuk mencadangkan lantikan terus kepada MMSC Ventures Sdn Bhd bagi kontrak Perkhidmatan Design, Develop, Deploy and Maintain The AWS Landing Zone dengan nilai kontrak RM1,797,865.58

Syarikat MMSC Ventures adalah milik saudaranya dengan tertuduh mempunyai kepentingan dan kesalahan didakwa dilakukan di pejabat SSDU Innovations di Petaling, pada 25 Mac 2020.

Mazlan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras dan tertuduh diwakili peguam, Datuk K Kumaraendran dan Teh See Khoon.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan menyerahkan pasportnya. Kes akan disebut semula pada 30 September ini. - Bernama

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!