Buat garis panduan tonton konsert, jangan terus jatuh hukum

Buat garis panduan tonton konsert, jangan terus jatuh hukum

“Malaysia juga negara berbilang kaum, jangan fikir umat Islam sahaja. Sebab itu kita kena fikir secara menyeluruh, tanpa meninggalkan mana-mana sektor kaum, agama dan sensitiviti."- ujarnya

KUALA LUMPUR – Pendakwah yang juga pengacara, Ustaz Don Daniyal berharap agensi berkaitan membuat garis panduan untuk umat Islam mengikuti konsert, berbanding mendesak kerajaan menyekat penganjuran persembahan mega penyanyi antarabangsa.

Katanya, hiburan bukan satu kesalahan, namun tatacara bagi umat Islam menghadiri konsert mampu menghuraikan polemik perselisihan pendapat dalam kalangan asatizah dan artis yang kini menjadi perdebatan dalam media sosial.

“Pendirian saya tetap selari dengan Mufti iaitu perkara yang melibatkan maksiat kita jangan sokong, tetapi jangan pula kita terus jatuhkan hukum dan meletakkan dosa kepada semua perkara.

“Konsert itu apa hukumnya? Kalau kita kata konsert itu haram, jadi bermakna konsert nasyid juga haram? Jangan kita hanya pandang pada satu arah saja. Kena tengok asasnya apa.

“Kita tak boleh tutup terus jalan konsert kerana Malaysia negara majmuk, selain kita perlu melihat penganjurannya dalam konteks menjana ekonomi serta menarik pelancong. Kita perlu wujudkan kelestarian.

“Saya bukan nak campurkan antara batil dan benar, cuma mahu kita mengeluarkan pendapat secara rasional. Kaedah paling diperlukan sekarang adalah tetapkan garis panduan bagaimana orang Islam hendak ke konsert.

“Jadi pihak berkaitan patut sama-sama buat garis panduan supaya masyarakat dibiasakan dengan tatacara menghadiri persembahan, selain memberi tempoh percubaan sebelum melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Geng Ta’alim yang bakal disiarkan menerusi Astro Oasis bermula 5 September depan.

Terdahulu, Pencetus Ummah (PU) Syed menggesa pihak berkuasa membatalkan konsert Blackpink pada Mac tahun depan dengan menyifatkannya sebagai ejen dajal yang menyelinap masuk ke negara Islam.

Malah pendakwah bebas yang sebelum ini turut mendesak persembahan mega Billie Eilish di Bukit Jalil dibatalkan juga meluahkan hasrat mengadakan perhimpunan khas sebagai simbolik menentang penganjuran konsert seumpama itu.

Kenyataan tersebut mencetuskan pelbagai maklum balas termasuk daripada selebriti tempatan termasuk Nabila Huda yang menganggap pendapat PU Syed sebagai tidak matang.

Pada masa sama, Don Daniyal berharap golongan agamawan atau asatizah dan artis dapat saling bermuafakat terutama dalam membangunkan sektor seni berlandaskan Islam.

“Kita tak mahu ada salah faham mahupun wujudnya jurang. Jangan ada bias. Asatizah dan artis perlu bersahabat. Janganlah kita rasa mulia dan semua artis itu pendosa. Kita juga pendosa.

“Malaysia juga negara berbilang kaum, jangan fikir umat Islam sahaja. Sebab itu kita kena fikir secara menyeluruh, tanpa meninggalkan mana-mana sektor kaum, agama dan sensitiviti.

“Berbalik kepada garis panduan tadi, kita fokus kepada umat Islam dan bagi tempoh percubaan. Setiap perkara perlukan masa untuk menjadi kebiasaan.

“Perlahan-lahan, kita bertenang. Jangan terus kita bertelagah pendapat. Mungkin perlukan masa setahun dua sebelum penguatkuasaan pula dapat dilaksanakan.

“Tetapi jika semua agensi yang sepatutnya tidak memberikan sebarang respons atau memulakan usul membuat garis panduan yang ditunggu-tunggu ramai, isu sama akan terus berulang,” katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!