Kerana RM4, penghuni rumah anak yatim maut dibelasah rakan


Kerana RM4, penghuni rumah anak yatim maut dibelasah rakan

"Mangsa berusia 11 tahun itu dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri ketika berada di bangunan surau asrama itu antara jam 3.45 hingga 4.15 petang hari berkenaan."


KUANTAN - Seorang penghuni sebuah asrama rumah anak yatim dan miskin di sini, meninggal dunia dipercayai akibat dibelasah seorang rakan, pada Ahad.


Mangsa berusia 11 tahun itu dipercayai disepak, dicekik dan dihempas ke lantai oleh suspek berusia 16 tahun sehingga tidak sedarkan diri ketika berada di bangunan surau asrama itu antara jam 3.45 hingga 4.15 petang hari berkenaan.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan.


Menurutnya, kejadian disedari penyelia asrama (pengadu) berusia 35 tahun selepas mangsa yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa tiga penghuni lain termasuk suspek menemuinya kira-kira jam 4.15 petang.


"Ketika itu mangsa masih bernyawa dan awalnya disyaki diserang sawan lalu pengadu bersama seorang lagi penyelia asrama segera membawanya ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.


"Sejurus tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas," katanya dalam kenyataan pada Isnin.


Wan Mohd Zahari berkata, pengadu kemudiannya membuat satu laporan polis berhubung kejadian untuk tindakan lanjut.


"Berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku ketika mangsa bersama tujuh rakan termasuk suspek yang dilantik sebagai ketua telah ditugaskan untuk gotong-royong membersihkan surau.


"Ketika berada di surau itu, suspek dipercayai telah mencekik dan menghempas mangsa ke lantai hingga mangsa tidak sedarkan diri.


"Kejadian dipercayai berpunca rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mengambil wangnya berjumlah RM4," katanya.


Beliau berkata, suspek juga dikatakan tidak puas hati dengan sikap mangsa yang tidak mengambil serius tegurannya.


"Tindakan suspek terbongkar selepas kejadian itu disaksikan tujuh penghuni asrama lain.


"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk proses bedah siasat," katanya.


Menurutnya, susulan kejadian, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari hingga 27 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!