Cedera dibelasah gara-gara berebut pelajar perempuan


Cedera dibelasah gara-gara berebut pelajar perempuan

“Dia yang dalam kesakitan kemudian dipaksa berlawan dengan salah pelajar senior berkenaan sehingga mengalami bengkak serta luka di bahagian badan dan kaki,” katanya.



MELAKA – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah teknik di sini cedera di bahagian belakang badan, dada dan kaki dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior gara-gara berebut pelajar perempuan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh abang mangsa pada 5.15 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan awal, motif kejadian dipercayai disebabkan rasa tidak berpuas hati pelajar senior tersebut terhadap mangsa kerana meminati pelajar perempuan yang sama di sekolah tersebut.

“Mengikut laporan dibuat, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat mendakwa telah dibuli pelajar senior sehingga cedera di belakang badan, dada dan kaki kira-kira pukul 2 pagi di asrama sekolah berkenaan.

“Menurutnya sekumpulan 10 pelajar tingkatan lima membulinya kerana dia telah menipu tentang vape (rokok elektronik), namun hasil siasatan lanjut kita percaya ia sebenarnya berpunca daripada isu meminati pelajar perempuan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam laporan dibuat, mangsa turut mendakwa sebelum ini pernah ditahan oleh seorang pelajar senior atas kesalahan menghisap vape.

“Mangsa telah ditumbuk di bahagian perut oleh pelajar senior dan dipukul secara beramai-ramai di dalam bilik asrama gara-gara tidak berpuas hati dengan jawapan diberikannya.

“Dia yang dalam kesakitan kemudian dipaksa berlawan dengan salah pelajar senior berkenaan sehingga mengalami bengkak serta luka di bahagian badan dan kaki,” katanya.






Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!