Warga emas antara 30 dicekup berjudi di kebun sawit


Warga emas antara 30 dicekup berjudi di kebun sawit

"Turut ditahan, seorang penjawat awam iaitu lelaki berusia lingkungan 50-an yang disyaki turut berjudi di kawasan itu."


Sik: Sekumpulan 30 individu yang sebahagiannya warga emas bertempiaran lari sebaik menyedari kehadiran polis ketika asyik berjudi di kawasan kebun sawit di Kampung Kalai, Mukim Jeniang, di sini, hari ini.

Dalam operasi Ops Dadu/Ops Krismas/Ops Tahun Baru yang bermula 3 petang itu, 30 individu terbabit yang terdiri daripada 27 lelaki dan tiga wanita itu tidak menyedari kehadiran polis yang disangka kaki judi.

Turut ditahan, seorang penjawat awam iaitu lelaki berusia lingkungan 50-an yang disyaki turut berjudi di kawasan itu.

Malah ketika serbuan dilakukan, kesemua mereka leka bermain judi di bawah khemah yang dijadikan port untuk kaki judi mempertaruhkan wang masing-masing.

Kegiatan judi di kawasan kebun kelapa sawit itu yang terletak kira-kira satu kilometer dari jalan raya itu dipercayai beroperasi sejak empat minggu lalu.

Operasi dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan turut dibantu anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Sik.

Malah operasi turut disertai Ketua Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar.

Seorang kaki judi berusia 69 tahun, sanggup datang dari Kubang Pasu ke daerah ini dengan membawa wang tunai lebih RM20,000 semata-mata untuk pertaruhan judi tidak menyangka ditahan polis.

Menurutnya, dia yang datang bersama anak lelakinya berusia 41 tahun dengan menaiki kereta dari Jitra dan mengaku pernah ditahan sebelum ini di daerah Kubang Pasu kerana melakukan kegiatan sama tapi tidak serik kerana sasarannya hanya untuk menang judi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua 30 individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan perjudian itu ditahan termasuk penganjur berusia 41 tahun serta tiga pembantunya berusia antara 19 hingga 51 tahun.

Beliau berkata, kesemua 30 individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun dan polis turut dirampas beberapa barangan yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu seperti sehelai kain kanvas bergambar belangkas, ikan, udang dan bunga serta peralatan untuk bermain judi termasuk meja dan kerusi.

"Turut dirampas, wang tunai bercampur-campur sebanyak RM727 manakala rampasan wang pada setiap suspek berjumlah keseluruhan RM72,875.

"Kesemua mereka dibawa ke IPD Sik untuk tindakan lanjut," katanya.

Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!