Polis giat mencari lelaki Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang melarikan diri dari lokap


Polis giat mencari lelaki Rohingya dikenali 'Long Tiger' yang melarikan diri dari lokap


“Gambar suspek sudah diedarkan. Kita akan mendapatkan petunjuk tentang keberadaannya, polis di negeri-negeri yang berada di sempadan pintu masuk negara juga kita maklumkan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangkap Long Tiger ini,” katanya.


KANGAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjejaki seorang lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang dilaporkan melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, Johor baru-baru ini.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua ketua polis termasuk negeri dan daerah serta ketua balai telah dimaklumkan supaya pasukan masing-masing turut sama mengesan keberadaan lelaki berkenaan.


“Gambar suspek sudah diedarkan. Kita akan mendapatkan petunjuk tentang keberadaannya, polis di negeri-negeri yang berada di sempadan pintu masuk negara juga kita maklumkan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangkap Long Tiger ini,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini hari ini. Turut hadir Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.


Suspek, Abdul Hamim Ab Hamid, 32, melarikan diri dari lokap mahkamah itu pada 15 Disember lepas dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada 11.55 pagi sebelum perbicaraan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan bermula.


Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata, mana-mana pesara polis yang terjejas akibat banjir diminta tampil memaklumkan musibah itu kepada pihak PDRM supaya bantuan dapat disalurkan sebaik mungkin kepada mereka.


Beliau memberitahu, PDRM mempunyai Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang di bawah tabung itu terdapat bantuan bencana termasuk banjir hingga RM10,000 untuk pesara terjejas akibat bencana itu.


“Tabung ini memang dibuat khas untuk pesara-pesara polis, memang ada wang untuk menyantuni mereka jika mereka mempunyai masalah terkesan dengan banjir ini,” katanya yang turut memaklumkan pihak PDRM sedang mengenal pasti jumlah keseluruhan pesara polis yang terlibat dengan banjir.


Katanya, setakat ini terdapat 42,279 pesara polis keseluruhannya di seluruh negara dan kepada pesara yang berpindah ke alamat baharu diminta mengemas kini maklumat bagi memastikan sebarang urusan pemberian bantuan dapat diterima.


“Di sini saya ingin menguarkan kepada kesemua pesara polis yang ada, minta tampil mendaftarkan diri sebab ada antara mereka ini masa bertugas, dia kata hendak pencen di alamat A, tetapi apabila sudah bersara dia tidak duduk (tinggal) di alamat tersebut,” katanya.- Bernama


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!