Antivaksin bayar sendiri kos rawatan jika masuk hospital...


Antivaksin bayar sendiri kos rawatan jika masuk hospital jika disebabkan Covid-19 - Pakar Kesihatan


SHAH ALAM – Pakar kesihatan bersetuju agar pihak yang sengaja menolak pemberian vaksin perlu membayar sendiri kos rawatan jika didapati memasuki hospital disebabkan Covid-19.


Pakar kesihatan awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ini kerana kerajaan telah menawarkan pemberian vaksin secara percuma kepada orang ramai.


“Saya setuju sebab kita telah tawarkan (pemberian vaksin secara) percuma. Cuma, bagi saya mungkin kerajaan tidak perlu buat perkara itu sekarang. Mungkin itu satu ugutan.


“Negara-negara luar, perkara itu (bayar kos sendiri) memang sudah berlaku tetapi kerajaan (Malaysia) sayang rakyatnya dan menanggung (kos) di bawah Akta Penyakit Berjangkit. Sebab itu orang sakit denggi atau tibi (tuberculosis) kerajaan tanggung sebab itu penyakit berjangkit.


“Tetapi kalau satu tahap mereka sanggup tandatangan mengatakan mereka tak nak (divaksin), mereka kena tanggung kalau apa-apa berlaku,” katanya kepada Sinar Ahad.


Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pihak yang sengaja menolak vaksin perlu bayar sendiri segala kos sekiranya didapati memasuki hospital kerana Covid-19.


Mengulas lanjut, Dr Sharifa berkata, pihak yang tidak mahu divaksin akan meningkatkan risiko mereka terkena penyakit dan ia turut membawa risiko kepada orang lain.


“Contohnya, cucu dan anak mereka yang berumur bawah 12 tahun. Mereka ini nanti yang akan kena Covid-19. Bila mereka tidak cucuk vaksin, akan menyebabkan orang lain nanti dijangkiti.


“Kenapa mereka ini degil sedangkan orang lain yang sudah cucuk vaksin selamat. Patutnya kena ikut apa yang dicadangkan oleh doktor dan pakar berbanding percaya kepada kawan-kawan atau berita yang tidak sahih,” katanya.


Sementara itu, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan am, Dr Hanafiah Bashirun pula mendedahkan bahawa kos merawat pesakit akibat dijangkiti Covid-19 di hospital swasta bergantung kepada wad biasa, unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah hari.


“Kalau hospital swasta, sekiranya memasuki wad biasa harganya sekitar RM7,000 hingga RM10,000 untuk kategori satu dan dua.


“Kategori tiga, empat dan lima memerlukan RM30,000 hingga RM70,000 untuk rawatan jika dimasukkan ke wad ICU akibat jangkitan Covid-19,” jelasnya.


Dr Hanafiah berkata, apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan adalah mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19.


“Kalau kerajaan wajibkan (ambil) vaksin Covid-19, maka kerajaan boleh membuat prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan sekiranya tidak divaksin dan memasuki hospital kerajaan, perlu membayar sendiri. Yang itu kerajaan boleh buat.


“Kalau kerajaan tidak mewajibkan vaksin, maknanya kerajaan tidak boleh berbuat seperti itu (pihak sengaja tolak vaksin bayar sendiri kos) atas dasar-dasar kemanusiaan.


“Nanti hak asasi manusia akan mengganggu Khairy,” jelasnya.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!