Wawa Zainal hamil lagi, bakal dapat anak keempat




PETALING JAYA – Setelah dihujani spekulasi kehamilan dalam kalangan peminat, pelakon Wawa Zainal atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin tidak menunggu lama untuk mengesahkan bahawa dirinya sekali lagi berbadan dua.


Wawa, 30, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi mengharapkan doa yang baik-baik daripada orang ramai agar kandungannya yang kini melepasi usia enam bulan itu berada dalam keadaan terbaik sehingga tiba hari kelahiran kelak.


“Sebenarnya, saya memang hamil enam bulan, sudah nak masuk tujuh bulan. Alhamdulillah, keadaan saya okey. Orang cakap ‘bayi pandemik’ atau apa, ikut merekalah, boleh juga kata begitu.


“Anak-anak dan suami semua gembira dan tak sabar nak tunggu kelahiran orang baharu dalam keluarga ini. Saya berharap semuanya dipermudahkan nanti terutama urusan bersalin dan minta tolong doakan yang baik-baik,” katanya.


Ditanya sama ada timbul kerisauan kepada dirinya hamil ketika pandemik Covid-19, isteri kepada pelakon, Aeril Zafrel itu berkata, semestinya dia risau namun perasaan itu perlu didatangkan dengan langkah berjaga-jaga agar semua berjalan dengan lancar dan selamat.


Tambahan pula, suaminya Aeril sendiri pernah dijangkiti virus Covid-19 sebanyak dua kali, pertama pada awal Januari dan kali kedua ialah awal bulan ini.


“Semua ibu mengandung merasai kebimbangan yang sama termasuklah saya. Bagaimanapun, kita perlu beriktiar. Kalau mana (ibu mengandung) yang belum dapatkan vaksin, silalah berbuat demikian bukan hanya untuk diri kita tetapi untuk anak dalam kandungan dan orang-orang sekeliling.


“Alhamdulillah, saya dah lengkap dua dos vaksin. Tipu kalau saya cakap tak risau apabila baca berita ibu-ibu bersalin bertarung nyawa atau menjadi korban mangsa Covid-19.


“Dalam pada itu, jaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. Kalau tiada keperluan keluar rumah, jangan keluar. Duduk rumah dan jaga kandungan baik-baik. Insya-Allah, semoga urusan semua orang dipermudahkan terutama buat ibu-ibu hamil macam saya,” ujarnya lagi.


Ditanya tentang jantina bayi yang sedang dikandungkannya, jawab Wawa: “Belum tahu lagi (tertawa). Cuma, harapkan anak yang lahir nanti sihat walafiat. Doakan saya ya.”


Terdahulu, netizen mula menebarkan spekulasi pelakon 99 Kali Rindu itu sedang hamil apabila menyedari ‘baby bump’ yang semakin jelas kelihatan dalam entri-entri terbaharunya dalam Instagram, terutama ketika sambutan hari ulang tahun kelapan anak sulungnya Attar, semalam.


Wawa Zainal berkahwin dengan Aeril Zafrel pada 25 Februari 2012, dan menikah untuk kali kedua pada 4 Februari 2013 di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya. Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar Suhairil, 8, Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa Suhairil, 6, dan Aya Soffya Suhairil, 2. 


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!