Lelaki bawa budak buat aksi 'wheelie' ditahan


Lelaki bawa budak buat aksi 'wheelie' ditahan

"Tujuan aksi itu untuk meraih viewers. Lelaki itu ditahan pihak polis setelah video tersebut tular di sosial media dan berdepan hukuman penjara 10 tahun atau denda RM 20,000 jika sabit kesalahan"


JOHOR BAHRU - Lelaki yang videonya tular di laman sosial Facebook ketika membuat aksi ‘wheelie’ motosikal bersama seorang kanak-kanak perempuan telah ditahan polis pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Wahid berkata, penahanan itu dibuat berdasarkan video aksi berdurasi 36 saat melibatkan lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan pada jam 3 petang.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati aksi menunggang motosikal secara berbahaya itu telah dibuat di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas di sini dengan menggunakan telefon bimbit milik suspek sendiri.


“Kita menerima video memaparkan suspek menunggang sebuah motosikal jenis Honda Ex5 bersama seorang kanak-kanak perempuan yang membonceng di bahagian hadapan motosikal dengan membuat aksi wheelie iaitu mengangkat tayar hadapan.


“Tujuan aksi tersebut adalah untuk meraih perhatian warganet dan telah dimuatnaik ke dalam akaun Facebooknya peribadinya pada 15 Februari kira-kira jam 7 petang,” katanya dpada Khamis.


Rupiah berkata, sebanyak tiga saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikuti spesifikasi, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.


“Suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM15,000.


“Manakala jika ini adalah sabitan kedua, suspek juga boleh dikenali hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000,” katanya.


Justeru, beliau turut menasihati agar pengguna jalan raya tidak melakukan aksi-aksi yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!