Pegawai Perangkawan didenda RM53,000, penjara...


Pegawai Perangkawan didenda RM53,000, penjara...

“Pastikan anak-anak kamu dididik dengan baik selepas ini. Apa yang penting adalah pengakhiran kita, bukan bagaimana kita bermula,” - nasihat Hakim kepada tertuduh


SHAH ALAM – Seorang pegawai perangkawan Jabatan Perangkaan Selangor didenda keseluruhan RM53,000 dan dipenjara sehari oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas dua pertuduhan pilihan masing-masing rasuah RM4,390 bagi pembekalan kontrak dan meluluskan tuntutan perjalanan palsu, dua tahun lalu.


Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Noor Azlin Jaafar, 38, menukar pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.


Bagi pertuduhan rasuah dia didenda RM15,000 manakala tuntutan palsu pula sebanyak RM38,000 dengan penjara sehari bagi setiap pertuduhan selepas arahkan berjalan serentak oleh pihak mahkamah.


Noor Azlin turut diperintahkan penjara keseluruhan 10 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayarnya.


Rozilah dalam penghakimannya menjelaskan tertuduh sebagai penjawat awam telah menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pegawai bawahan.


“Pastikan anak-anak kamu dididik dengan baik selepas ini. Apa yang penting adalah pengakhiran kita, bukan bagaimana kita bermula,” katanya.


Berdasarkan pertuduhan pilihan rasuah, ibu tunggal kepada dua anak kembar itu telah menerima wang tunai RM4,100 tanpa balasan dari seorang lelaki berusia 44 tahun bagi kerja percetakan borang soal selidik survey guna tenaga dan gaji upah dengan harga kerja RM12,285 melalui pesanan kerajaan (PO).


Tertuduh juga didakwa satu pertuduhan menerima wang tunai RM290 daripada seorang pekerja wanita di jabatan itu berusia 32 tahun bagi meluluskan tuntutan palsu bernilai RM727.50.


Kesemua perbuatan itu dilakukan Noor Azlin di tempat kerjanya di Jabatan Perangkaan Selangor di antara September dan Oktober, 2019.


Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan tersebut.


Sementara 43 pertuduhan utama dan 41 pertuduhan pilihan lain yang dihadapi tertuduh telah ditarik balik mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadhli Ab. Wahab dan Noryusriza Zulkefli manakala pembelaan diwakili Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Nur’ain Shahiera Khalid.


Pada 16 Disember tahun lalu melaporkan seorang pegawai perangkawan di Jabatan Perangkaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 43 pertuduhan mendapatkan suapan bagi projek pembekalan kontrak dan meluluskan tuntutan perjalanan palsu dengan nilai keseluruhan RM32,751.20. – K! ONLINE


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!