Budak mangsa dera diselamatkan ketika cuba lari melalui tingkap


Budak mangsa dera diselamatkan ketika cuba lari melalui tingkap

"Dia menjerit meminta tolong kerana sudah tidak tahan didera oleh seorang wanita di rumah terbabit," katanya

Ampang Jaya: Jeritan meminta tolong dari kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang terperangkap pada belebas tingkap di sebuah kondominium di Taman Cahaya di sini, ketika cuba melarikan diri berjaya menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa dera.

Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Thina, 48 berkata, kejadian itu disedari isterinya ketika berjoging di kawasan berkenaan.

"Ketika itu kanak-kanak berkenaan berada di belebas tingkap di tongkat 4 kondominium berkenaan.


"Dia menjerit meminta tolong kerana sudah tidak tahan didera oleh seorang wanita di rumah terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, kejadian itu bukan kali pertama, malah pada minggu lalu kanak-kanak itu dibogelkan dan diarah berdiri di balkoni rumah.


"Kejadian itu memang kami saksikan, anak-anak saya juga melihat, malah ketika menyelamatkan kanak-kanak itu dia memberitahu sudah tidak tahan dan penat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan kanak-kanak terbabit selepas menerima laporan dari orang awam pada jam 4.41 petang.


Menurutnya, kanak-kanak terbabit dipercayai dikurung dalam sebuah bilik unit kondominium terbabit sebelum dipercayai cuba melarikan diri dengan keluar daripada tingkap bilik berkenaan sebelum terperangkap di belebas tingkap berkenan.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian pada jam 4.48 petang mendapati pintu kediaman terbabit sudah berjaya dipecahkan oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit.

"Kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu dipercayai mangsa penderaan berdasarkan kesan-kesan birat dan luka pada tangan, lengan, kaki dan belakang badan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, mangsa adalah kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia lapan tahun dan ketika kejadian mangsa ditinggalkan berseorangan.

Katanya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!