VIDEO - Penghantar barang maut, seorang parah kemalangan lima kenderaan


Penghantar barang maut, seorang parah kemalangan lima kenderaan

“Dua SUV itu kemudian terbabas dan masing-masing melanggar dua motosikal serta sebuah Proton Wira di laluan bertentangan,” katanya

KLANG- Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam kemalangan yang tular di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Sirat di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 2 petang melibatkan lima kenderaan itu turut mengakibatkan seorang penunggang motosikal lain cedera parah.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ketika kejadian kedua-dua lelaki berusia 34 dan 29 tahun itu sedang berhenti menunggu lampu isyarat.

Kata beliau, kemalangan berlaku ketika kereta Nissan X-trail mahu membelok ke kanan jalan tersebut.

“Pada waktu itu, sebuah lagi kereta jenis sama di laluan berkenaan mahu meneruskan perjalanan lalu berlanggar.

“Dua SUV itu kemudian terbabas dan masing-masing melanggar dua motosikal serta sebuah Proton Wira di laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Jelas Vijaya Rao, perlanggaran itu mengakibatkan penghantar barang meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dikejarkan ke hospital.

Tambah beliau, kedua-dua pemandu SUV berusia 20 dan 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


“Kes disiasat mengikutvSeksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektpr Mohd. Fadli Ismail di talian 017-2141318 atau balai polis berdekatan,” katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!