Peniaga maut, kereta bertembung bas ekspres


Peniaga maut, kereta bertembung bas ekspres

"Pemandu Perodua Kancil, Mohamad Norhakim Nor Rusdi, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit serta mengalami kecederaan parah."


Kuala Krai: Peniaga maut selepas kereta dipandu hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, dekat Kampung Damar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, pemandu Perodua Kancil, Mohamad Norhakim Nor Rusdi, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit serta mengalami kecederaan parah.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Kancil, bas ekspres dan Perodua Kelisa.


Katanya, hasil siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu dari arah Kota Bharu menuju ke Gua Musang secara tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres yang dipandu lelaki berusia 37 tahun.

"Bas ekspres yang membawa 17 penumpang itu datang dari arah Gua Musang ke Kota Bharu kemudiannya bergesel dengan Perodua Kelisa dipandu wanita berusia 40 tahun yang ketika itu berada di belakang kereta dipandu mangsa.


"Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu bas ekspres hanya mengalami luka dan calar di tangan sebelah kiri serta bawah dagu.

"Sementara itu, 17 penumpang bas ekspres serta pemandu Perodua Kelisa tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut Suzaimi berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang dan sepasukan enam anggota dari BBP Kuala Krai serta dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.


"Setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu bas ekspres, Perodua Kancil dan Perodua Kelisa.

"Seorang lelaki tersepit dalam kereta Perodua Kancil dan berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan khas yang mengambil masa selama 15 minit, namun disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!