Masalah brek punca treler jatuh dari jejambat lebuh raya


Masalah brek punca treler jatuh dari jejambat lebuh raya

"Mangsa tidak tersepit dan kehadiran bomba di tempat kejadian lebih kepada kerja-kerja pemantauan," katanya

Ipoh: Lelaki tercedera apabila treler tanpa muatan dipandunya jatuh dari jejambat Lebuhraya Utara Selatan ke Jalan Kuala Kangsar di sini, tengah hari ini.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, insiden yang dilaporkan berlaku pada am 12.40 tengahari itu menyebabkan pemandu treler berusia 50 tahun yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang itu mengalami cedera ringan.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden terbabit daripada anggota Peronda Lebuh Raya (EMPV) yang sedang melakukan tugas rondaan di kawasan terbabit.

Katanya, nahas berlaku apabila treler yang dalam perjalanan menghala ke utara melalui lebuh raya terbabit sebelum terbabas di Kilometer 271.2, sebelum ia menjunam dan terjatuh ke jalan Persekutuan.

Azizi berkata, kejadian terbabit dipercayai berpunca daripada masalah brek yang dialami treler terbabit.

"Keadaan jalan di lokasi adalah lurus dengan keadaan cuaca juga baik," katanya melalui satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh Mohd Azman Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.27 tengah hari dan sebaik tiba didapati pemandu treler berkenaan sudah keluar dari kenderaan itu serta mengadu sakit dada.

"Mangsa tidak tersepit dan kehadiran bomba di tempat kejadian lebih kepada kerja-kerja pemantauan," katanya.

Terdahulu, beberapa visual mengenai kejadian termasuk menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan menunjukkan sebuah treler terjatuh dari atas jejambat.

Difahamkan, insiden itu tidak mengakibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Kejadian itu juga menyebabkan aliran trafik di Jalan Kuala Kangsar itu sesak.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!