Lelaki cuba terjun Jambatan Sultan Mahmud positif dadah


Lelaki cuba terjun Jambatan Sultan Mahmud positif dadah

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine."

KUALA TERENGGANU - Siasatan polis terhadap seorang lelaki yang cuba terjun dari Jambatan Sultan Mahmud di sini, pada Isnin mendapati individu berkenaan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah peribadi.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

"Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abdul Rahim berkata, semasa hari kejadian, pihak polis telah menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sekitar jam 5.45 petang.

"Sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian, orang awam telah berjaya memujuk dan menghalang lelaki itu daripada terjun serta telah menyerahkan kepada pihak polis.

"Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Menurut Abdul Rahim, sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial sejak malam Isnin memaparkan seorang lelaki berdiri di luar penghadang Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

Katanya, tindakan lelaki tersebut disedari orang awam yang melalui kawasan itu dan segera menghubungi pihak polis.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!