Ekonomi tak stabil, Eloklah hentikan majlis makan minum dan keraian untuk kurangkan kos perbelanjaan kerajaan

Ekonomi tak stabil, Eloklah hentikan majlis makan minum dan keraian untuk kurangkan kos perbelanjaan kerajaan

"Semua itu kos dan dilangsungkan atas nama wang pembayar cukai. Banyak kerja lain yang perlu disiapkan daripada hadir majlis makan-minum..." pengkritik

KEPUTUSAN untuk mengeluarkan pekeliling perbendaharaan baharu yang antara lain menyenaraikan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam pada Khamis, 14 Julai lalu, memperlihatkan betapa situasi kantung kerajaan yang semakin menguncup sekarang.

Tujuan pekeliling ini adalah untuk memastikan semua Ketua Setiausaha Kementerian/ketua jabatan/ketua badan berkanun/Ketua Eksekutif Syarikat Terhad Dengan Jaminan (CLBG) dan ketua agensi lain, melaksanakan langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

Ia juga menegaskan, pegawai pengawal iaitu ketua-ketua setiausaha dan ketua jabatan hendaklah memastikan agar badan berkanun, CLBG dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah seliaan mereka hendaklah menerima pakai garis panduan terbaru ini sebelum peruntukan disalurkan.

Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, kerajaan telah menyediakan kemudahan bantuan dan pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara.

Hasilnya, ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2021 dan seterusnya berkembang sebanyak 5.0 peratus pada suku pertama 2022 (S1 2022).

Namun demikian, menurut pekeliling yang baru dikeluarkan itu, ketidaktentuan ekonomi global serta ketegangan geopolitik antarabangsa mengakibatkan tekanan inflasi tinggi ditambah dengan harga komoditi global dan makanan yang telah meningkat secara mendadak.

Perkembangan ini menjejaskan pemulihan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Oleh yang demikian, kerajaan mahu tidak mahu perlu mengambil langkah melaksanakan subsidi barangan perlu (essential goods) serta kawalan harga bagi mengurangkan impak inflasi dunia kepada negara dan rakyat.

Peningkatan subsidi sedia ada terutamanya produk petroleum dan minyak masak serta subsidi baharu seperti elektrik dan ayam telah menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.

PERBELANJAAN TAMBAHAN

Perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

Dengan itu, kerajaan seharusnya melaksanakan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat.

Pekeliling itu menegaskan pihak kementerian/jabatan/agensi/Badan Berkanun Persekutuan/CLBG hendaklah menyusun semula program/aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan dengan memastikan tidak membuat trade-off ke atas program dan aktiviti yang memfokuskan kepada kesejahteraan awam.

Maka mereka dikehendaki melaksanakan penjimatan dalaman untuk menentukan semua perbelanjaan adalah selaras dengan prinsip-prinsip dan peraturan yang ditetapkan bagi pengurusan kewangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, semua pegawai pengawal kementerian/jabatan/agensi adalah dikehendaki untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam mematuhi garis panduan penjimatan perbelanjaan ini.

Eloklah, kerana penulis perhatikan, agensi dan jabatan kerajaan masih sibuk serta banyak mengadakan majlis yang berakhir dengan makan minum, meraikan seseorang yang juga berakhir dengan makan minum, majlis ramah mesra termasuk atas nama meraikan media yang juga berakhir dengan makan minum dan banyak lagi yang tidak perlu pada masa bajet tengah ketat sekarang.

Sehingga semalam masih ada jemputan ke majlis keraian dan makan minum anjuran agensi kerajaan.

Semua itu kos dan dilangsungkan atas nama wang pembayar cukai. Banyak kerja lain yang perlu disiapkan daripada hadir majlis makan-minum....

Kredit Penulis : BELALANG

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!