Candat sotong perlu lesen, tindakan tegas boleh diambil


Candat sotong perlu lesen, tindakan tegas boleh diambil

“Bagi kes tidak mempunyai lesen, mereka yang terlibat boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjara atau kedua-duanya.

KUANTAN - Jabatan Perikanan Pahang memberi amaran tindakan tegas boleh dikenakan terhadap nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap atau mencandat sotong tanpa lesen di perairan negeri ini.


Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, aktiviti mencandat sotong hanya dibenarkan selepas memiliki lesen vesel daripada pihaknya dan perlu menggunakan peralatan mengail yang dibenarkan sahaja.


Menurutnya, mereka yang tidak memiliki lesen dan didapati melanggar peraturan ditetapkan akan dikenakan kompaun mengikut Akta Perikanan 1985.


“Bagi kes tidak mempunyai lesen, mereka yang terlibat boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjara atau kedua-duanya.


“Mereka yang mempunyai lesen tetapi melanggar peraturan ditetapkan pula berdepan tindakan kompaun tidak kurang RM500 jika didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.


Beliau menjelaskan, mereka yang memiliki lesen perlu mematuhi setiap peraturan seperti menjalankan aktiviti menangkap sotong dan ikan di luar kawasan dua batu nautika dari pantai.


Abdullah berkata, syarat yang ditetapkan bertujuan bagi menjaga sumber perikanan supaya tidak terjejas dan menjaga kelestarian di perairan Pahang.


“Adalah penting kesedaran semua pihak berhubung tindakan perlindungan kepada sumber perikanan selaras kepentingan menjaga kelestariannya bagi menjamin bekalan makanan,” ujarnya.


Menurut Abdullah, mencandat sotong merupakan antara produk pelancongan di Pahang yang menjadi salah satu punca pendapatan nelayan.


“Ketika ini musim sotong, jadi ia beri peluang kepada nelayan dan pelancong mencandat sotong. Pelancong akan menyewa bot nelayan setempat untuk turun ke laut, hasil yang diraih dikatakan memuaskan.


“Aktiviti ini (mencandat) sotong dilakukan oleh pelancong dan nelayan tempatan di perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman dan beberapa perairan di negeri ini,” katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!