Ajal dua beradik dalam parit


Ajal dua beradik dalam parit

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan empat tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika bermain di kawasan berhampiran.

Manjung: Dua beradik ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit berhampiran rumahnya di Batu 12, Jalan Segari di Pantai Remis dekat sini, hari ini.

Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dan empat tahun itu dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika bermain di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian pada 7 malam.

Menurutnya, dua beradik terbabit bermain di luar kawasan rumahnya pada 5 petang dan ketika itu ibu mereka berusia 36 tahun sedang memasak.

"Ibu mangsa menyuruh anak sulungnya berusia 10 tahun mencari dua adiknya untuk pulang ke rumah pada 5.30 petang.

"Kanak-kanak itu kemudiannya menemui dua adiknya di dalam parit berhampiran dan terus memaklumkan kepada ibunya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, wanita itu kemudian meminta bantuan orang awam yang berada di situ untuk menyelamatkan kedua-dua mangsa yang berada dalam parit.

Nor Omar berkata, pasukan perubatan yang tiba di lokasi pada 7.15 malam mengesahkan kematian dua beradik berkenaan.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematiannya.

"Setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.



Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!