Lelaki ragut RM 50 ditahan sehari selepas kejadian


Lelaki ragut RM 50 ditahan sehari selepas kejadian

"Menurutnya, dalam kejadian ragut terbabit, suspek telah meragut beg tangan mangsa wanita berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan. Dalam beg tangan tersebut mempunyai wang RM 50..."


PORT DICKSON - Hasil kecekapan polis, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian ragut di hadapan sebuah pasar raya di daerah ini pada Isnin lalu berjaya ditahan sehari selepas insiden berkenaan.


Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 26 dan 28 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sebuah premis di Uptown Avenue Seremban 2 dan di sebuah rumah di Kampung Pachitan, Chuah di sini pada Selasa.


Menurutnya, dalam kejadian ragut terbabit, suspek telah meragut beg tangan mangsa wanita berusia 56 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan.


"Ketika kejadian mangsa yang sedang berjalan dengan anak perempuannya telah didatangi oleh seorang suspek menunggang sebuah skuter berwarna merah dengan nombor pendaftaran tidak pasti.


"Suspek telah meragut beg tangan mangsa yang mengandungi kad pengenalan pengadu, kad bank, surat pajak, wang tunai RM50 dan sebuah telefon bimbit jenama Oppo A16," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.


Bagaimanapun katanya, dalam kejadian itu mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.


Sementara itu, katanya, dalam serbuan dilakukan, polis telah merampas dua buah motosikal jenis skuter Scomadi dan Yamaha 135 LC yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian ragut terbabit.


"Selain itu turut dirampas beg tangan mangsa yang diragut.


"Suspek kini telah direman empat hari bermula Rabu dan disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika didapati bersalah," katanya.


Aidi Sham berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek utama berusia 28 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!