4 Kanak-kanak terima ganjaran, rajin datang solat subuh setiap hari ke Masjid


4 Kanak-kanak terima ganjaran, rajin datang solat subuh setiap hari ke Masjid

Empat kanak-kanak yang istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid selama 30 hari berturut-turut mendapat ganjaran basikal


KUALA TERENGGANU - Empat kanak-kanak yang istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid selama 30 hari berturut-turut mendapat ganjaran basikal.


Pengerusi Masjid Kampung Kebor Air, Manir, Mohd Hanapiah Abu Bakar berkata, kesemua kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun itu mendapat ganjaran utama yang ditawarkan bernilai RM400 setiap satu.



Menurutnya, kesemua kanak-kanak itu kini sudah sebati dengan ibadah solat Subuh secara berjemaah di masjid tersebut.


"Selaku penganjur program ini kita bersyukur kerana empat kanak-kanak ini berjaya menghabiskan cabaran istiqamah menunaikan solat Subuh berjemaah selama 30 hari dan kekal ke masjid untuk menunaikan ibadah itu sehingga ke hari ini.


"Kita yakin apabila anak-anak ini mula belajar tidak tinggal solat subuh, sudah tentu solat fardu yang lain juga akan terjaga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.


Mohd Hanapiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kebor Air berkata, pada peringkat awal cabaran itu disertai 70 peserta berusia tujuh tahun ke atas.


"Semua anak-anak ini begitu bersemangat untuk tunaikan solat Subuh namun hanya empat kanak-kanak ini sahaja antara peserta yang tidak pernah tinggal solat berjemaah walaupun sehari.


"Walaupun begitu, kita tetap berikan hadiah kepada semua peserta yang terlibat dalam majlis yang diadakan di masjid ini pada Jumaat lalu sebagai galakan kepada mereka untuk terus istiqamah dan tidak meninggalkan solat Subuh serta solat fardu yang lain," katanya.


Beliau berkata, pelbagai program juga dirangka pada Ramadan kali ini bagi menarik minat kanak-kanak di kampung itu untuk mendekatkan diri ke masjid.


"Antara program yang kita rangka ialah hadiah bagi kanak-kanak yang tidak tinggal solat sunat tarawih, pemberian wang saku kepada anak-anak istiqamah solat Subuh dan majlis berbuka puasa di masjid," katanya.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!