Suami cuba bunuh isteri dipenjara 5 tahun


Suami cuba bunuh isteri dipenjara 5 tahun

"Perbuatan seorang suami cuba membunuh isterinya dengan mencekik, memukul dan menekup muka dengan bantal, dua tahun lalu, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun"


Melaka: Perbuatan seorang suami cuba membunuh isterinya dengan mencekik, memukul dan menekup muka dengan bantal, dua tahun lalu, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Maziah Joary Tajudin menjatuhkan hukuman itu selepas mensabitkan tertuduh, M Paramasivam, 49, yang mengaku bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Dalam penghakimannya beliau menimbangkan rayuan tertuduh, fakta kes serta hujah pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan cubaan membunuh dengan menekup muka isterinya, M Santhi, 48.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan dan jika ia menyebabkan kecederaan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, Paramasivam dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya dengan mencekik leher dan memukul mukanya.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 323 Keseksaan jika disabitkan boleh dipenjara maksimum dua tahun dan denda maksimum RM2,000.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut mangsa secara lisan: "Mati lagi bagus" sambil mengacukan pemutar skru kepadanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban, pada 4 Februari 2020, kira-kira jam 5 pagi.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh yang juga bapa kepada dua anak berasal dari Pokok Mangga, di sini, memohon hukuman ringan bermula tarikh dia ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira keseriusan pertuduhan dihadapi tertuduh selain kecederaan dialami mangsa.

Selepas mendengar rayuan dan hujah pendakwaan, hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan masing-masing setahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga.

Beliau memerintahkan semua hukuman berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada pada 14 Februari 2021.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!