Pemandu lori rempuh penunggang motosikal bawah jejambat direman

Pemandu lori rempuh penunggang motosikal bawah jejambat direman

"Setakat ini, siasatan awal ke atas pemandu lori mendapati dia mendakwa tidak dapat melihat laluan lebuh raya berikutan cuaca hujan dan keadaan gelap"

Sungai Petani: Pemandu lori yang merempuh dua penunggang motosikal hingga maut di bawah jejambat di Kilometer 92.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) semalam, direman tiga hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Ainna Ahmad terhadap suspek berusia 28 tahun bagi siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Terdahulu suspek yang berbaju t dan berseluar hitam tiba di Kompleks Mahkamah Sungai Petani dalam keadaan tangan bergari pada jam 10.10 pagi sambil diiringi anggota polis.


Suspek dilihat menundukkan kepalanya dan mengelak wajahnya dirakam petugas media yang menunggu di luar mahkamah.

Dalam kejadian jam 2.40 petang semalam, dua penunggang motosikal meninggal dunia selepas dirempuh lori dipandu suspek.

Ketika itu, dua mangsa bersama beberapa penunggang motosikal lain sedang berteduh di bawah jejambat kerana hujan lebat.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohd Amirul Ismail, 28, dan Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31.

Difahamkan, ketika kejadian pemandu lori terbabit bersama kelindannya dalam perjalanan menghantar sofa yang dipesan pelanggan secara dalam talian di Pulau Pinang.

Sebelum itu, mereka yang datang dari Kelantan baru selesai menghantar sofa kepada pelanggan di Kuala Nerang dan perjalanan ke Pulau Pinang adalah penghantaran terakhir.

Setakat ini, siasatan awal ke atas pemandu lori mendapati dia mendakwa tidak dapat melihat laluan lebuh raya berikutan cuaca hujan dan keadaan gelap.

Ketika kejadian itu juga, kelindan lori yang menemani pemandu terbabit dikatakan sedang tidur.

Bagaimanapun, sehingga kini polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!