Pemandu maut, van langgar pokok


Pemandu maut, van langgar pokok

PARIT BUNTAR: Seorang pemandu van maut setelah kenderaan dipandunya terbabas dan merempuh pokok dalam kejadian di Batu 11, Jalan Pantai, Tanjung Piandang dekat sini, hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Mazuki Mat berkata, kemalangan pada kira-kira pukul 6 pagi itu menyebabkan mangsa,  Mohamad Tarmizi Mohd. Tajudin, 33, maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan berlaku ketika mangsa yang memandu van jenis Nissan Vanette dalam perjalanan dari Kuala Kurau ke Tanjung Piandang.

“Kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya kenyataan hari ini.

Menurut Mazuki, mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.






Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!