Ajal pengantin baharu pulang kerja


Ajal pengantin baharu pulang kerja

"Seorang mekanik hanya sempat bergelar suami selama 18 hari apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini, malam tadi."


ALOR GAJAH: Seorang mekanik hanya sempat bergelar suami selama 18 hari apabila maut dalam kemalangan di Kilometer 196.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, mangsa, Anwarie Azim Rozi, 23, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z terbabit kemalangan dengan sebuah Proton Persona dipandu lelaki berusia 47 tahun.

Katanya, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Melaka dari Seremban, Negeri Sembilan, manakala kereta itu pula dari Selangor menghala Ayer Keroh.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta itu hilang kawalan lalu merempuh motosikal mangsa dari arah belakang, sebelum mangsa tercampak ke atas jalan.

"Akibat rempuhan kuat itu, mangsa meninggal dunia ditempatkan kejadian manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala pemandu kereta terbabit diminta hadir ke balai polis untuk diambil keterangan," katanya.

Arshad berkata, kedua-dua kenderaan berkenaan ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Polis meminta saksi atau orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi maklumat dan membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!