Tiga kakitangan hospital didakwa rasuah urus jenazah


Tiga kakitangan hospital didakwa rasuah urus jenazah

"Petugas kesihatan itu menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis-jenis kematian."

SHAH ALAM – Tiga kakitangan Hospital Kajang dekat sini didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan ‘memperdagangkan’ 14 jenazah lelaki Islam selama dua tahun bermula 2019.

Kesemua tertuduh iaitu Mohd. Redzuan Che Husain, 34; Mohd. Nizam Noordin,41 dan Muhd. Azhar Nahar, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pilihan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mohd. Redzuan sebagai Penolong Pegawai Perubatan (MA) Gred U29 didakwa sembilan pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM3,450 dengan memberikan kerja-kerja pengurusan sembilan jenazah.

Muhd. Azhar pula dituduh dua pertuduhan rasuah berjumlah RM900 bagi tiga jenazah manakala Mohd. Nizam sebanyak RM600 bagi dua jenazah. Kedua-dua tertuduh adalah Pembantu Perawatan Kesihatan, Gred U19.

Kesemua jenazah Islam itu adalah lelaki dengan semasa kematian mereka berusia antara 34 hingga 76 tahun.

Kesemua rasuah tersebut diterima daripada seorang ejen lelaki yang sama berusia 33 tahun yang dimasukkan ke dalam akaun masing-masing di tiga buah cawangan bank di Kajang dan Petaling Jaya pada 14 Ogos 2019 hingga 20 Julai lalu.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Sekyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kosmo! difahamkan SPRM akan menuduh seorang lagi MA berusia 34 tahun dengan enam kes di Mahkamah Ipoh, Perak pada esok dan seorang lagi berusia 41 pada Isnin ini di Mahkamah Alor Setar, Kedah.

Kosmo! pada 8 Oktober lalu melaporkan lima kakitangan jabatan forensik sebuah hospital di Selangor yang ditahan berhubung kes rasuah pengurusan jenazah dipercayai mengaut untung kira-kira RM22,000 dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2019.

Petugas kesihatan itu menerima habuan RM300 hingga RM400 bagi setiap jenazah daripada ejen mengikut jenis-jenis kematian.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!