Pegawai Imigresen maut tercampak, digilis lori


Pegawai Imigresen maut tercampak, digilis lori

"Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Abdul Syafiq Mohammad, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala."


ALOR GAJAH – Seorang pegawai Imigresen maut selepas tercampak dan digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 196.3 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan), lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Abdul Syafiq Mohammad, 30, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan menghala ke Ayer Keroh.

“Hasil siasatan, kita dapati sebelum kejadian terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berusia 35 tahun telah rosak dan berhenti di lorong kecemasan.

“Mangsa yang kemudian datang telah melanggar bahagian belakang kereta terbabit, menyebabkannya tercampak ke lorong kanan laluan sebelum dilanggar sebuah lori yang gagal mengelaknya,” katanya.

Tambahnya, pegawai JPJ dan pemandu lori tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Difahamkan, mangsa menetap di Bukit Katil di sini dan berulang-alik ke bekerja di Seremban, Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

“Ketika kejadian keadaan jalan adalah lurus, manakala cuaca juga dalam keadaan baik dan tidak hujan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Alor Gajah untuk bedah siasat dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!