Budak lelaki maut didera pasangan kekasih



Budak lelaki (5 Tahun) maut didera pasangan kekasih


"Polis menahan pasangan kekasih yang didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga mangsa meninggal dunia, semalam. Mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandung dan bapa angkatnya, selain seorang adik dan kakak"




Iskandar Puteri: Polis menahan pasangan kekasih yang didakwa mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga mangsa meninggal dunia, semalam.


Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis Johor Bahru Selatan (JBS) menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) mengenai kematian kanak-kanak itu, jam 12.20 tengah hari.


Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersama dua suspek iaitu ibu kandung dan bapa angkatnya, selain seorang adik dan kakak di Taman Nusa Bestari, di sini.


"Pemeriksaan ke atas badan mangsa terdapat kecederaan di mulut, lebam di seluruh bahagian depan dan belakang badan kemungkinan akibat didera.



"Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Johor menjumpai getah paip di sinki dalam bilik air, batang kayu dan poly pipe di atas sofa dan kesan darah (swab) di rumah suspek. Kesemua barang kes dirampas.


"Pemeriksaan awal oleh pihak HSAJB terhadap mangsa mendapati mangsa sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, proses bedah siasat akan dijalankan pada pagi ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 mangsa diperolehi.


Katanya, kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun masing-masing ditahan di Taman Nusa Bestari dan HSAJB bagi membantu siasatan.


"Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau yang sama iaitu kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah, reman akan dimohon reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!