Baddrol, Rizal sah tinggalkan Hijau Kuning, sertai Sabah PC


Baddrol, Rizal sah tinggalkan Hijau Kuning, sertai Sabah PC


KETUA pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Baddrol Bakhtiar sah meninggalkan pasukan tersebut untuk menyertai Sabah FC musim hadapan.


KDA FC melalui Facebook rasminya berkata, Baddrol memilih untuk membawa haluan berbeza musim hadapan selepas menyumbang bakti selama 16 tahun bersama Kedah.


Menurut KDA FC, jasa beliau cukup besar selepas mengharungi perit jerih, jatuh bangun dan seterusnya berjaya mencipta nama antara pemain yang merekodkan jaringan gol tempatan paling tinggi.


"Baddrol antara pemain yang setia dan paling lama bersama sebuah pasukan selain telah memenangi semua kejuaraan domestik di Malaysia.


"Jasa untuk dikenang, dan Baddrol akan kekal selamanya antara cerita legenda bola sepak di negeri jelapang padi," katanya.


Tambah KDA FC, pertahanan Kental Hijau Kuning, Mohd Rizal Ghazali juga memaklumkan tidak menyambung kontrak bersama KDA FC walaupun barisan kejurulatihan memerlukan khidmatnya dan antara pemain pilihan utama pasukan tersebut pada musim hadapan.


Menurutnya, Rizal antara pemain utama beraksi di bahagian pertahanan kanan dan sentiasa mendapat panggilan skuad kebangsaan.


"Sumbangan tenaga beliau sepanjang perlawanan tidak perlu dipertikaikan lagi, antara pemain urat besi dan tidak mudah ditewaskan. Apapun keputusan beliau, KDA FC akan terus menyokong kerjaya bolasepak mereka bersama pasukan baharu," katanya lagi.


KDA FC berkata, Rodney Celvin Akwensive yang beraksi di pertahanan tengah bersama pasukan itu musim ini akan kembali ke pangkuan Selangor FC selepas kontrak pinjaman tamat.


"Jika jodoh beliau terus bersama KDA FC masih ada, hanya masa yang akan menentukan, bukan lagi rahsia Rodney antara pemain yang berada dalam perancangan barisan kejurulatihan musim hadapan.


"Empat lagi pemain musim lepas yang tidak akan bersama KDA FC musim hadapan adalah Mohd Fairuz Zakaria, Mohd Fandi Othman, Muhammad Faizat Ghazli dan Tam Sheang Tsung," ujarnya.


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!