Bayi 14 hari maut kemalangan kereta dengan lori tanah


Bayi 14 hari maut kemalangan kereta dengan lori tanah

MANJUNG – Seorang bayi berusia 14 hari maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan lori tanah di Jalan Kampung Gelung Gajah, Bakar Batar dekat Ayer Tawar di sini pagi tadi

Dalam kejadian berkenaan, kereta Perodua Kancil itu dinaiki enam sekeluarga termasuk bayi tersebut.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.24 pagi.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati kejadian melibatkan sebuah lori tanah melanggar Perodua Kancil.

‘Terdapat tujuh mangsa iaitu pemandu dan penumpang hadapan kereta, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak yang juga penumpang belakang kereta manakala bayi berusia 14 hari meninggal dunia.

“Turut tersepit ialah pemandu lori tanah,” ujarnya.

Komander operasi mengarahkan tindakan mengeluarkan mangsa-mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas.

Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Seri Manjung dengan ambulans manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang diketuai PBK II Suhaimi Nijar tamat sepenuhnya pada pukul 7.58 pagi.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!