VIDEO - RapidKL mohon maaf ejen pembersih kerja sambil lewa

RapidKL mohon maaf ejen pembersih kerja sambil lewa

Pekerja wanita terbabit melakukan tugas itu secara ala kadar selain tidak mengelap keseluruhan permukaan seperti bahagian pemegang tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.


PETALING JAYA – Sebuah klip video memaparkan dua operator pembersihan tren Rapid KL melakukan tugas sanitasi secara sambil lewa tular di laman Twitter sejak semalam.

Klip video berdurasi 7 saat itu memperlihatkan pekerja wanita terbabit melakukan tugas itu secara ala kadar selain tidak mengelap keseluruhan permukaan seperti bahagian pemegang tangan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Rapid KL dalam satu kenyataan di laman Facebook mengakui kesilapan itu dan memohon maaf kepada semua penumpang atas kegelisahan, kebimbangan dan kemarahan yang timbul akibat penyebaran video berkenaan.

“Dalam video tersebut, ejen pembersih kami dilihat menjalankan tugas pembersihan ketika tren kami tiba di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang yang merupakan stesen terakhir Laluan LRT Ampang dan Sri Petaling.

“Namun video tersebut menunjukkan tugas pembersihan dilakukan dengan tergesa-gesa serta tidak memuaskan mengikut peraturan pencegahan Covid-19 yang ditetapkan Rapid KL,” katanya semalam.

Menurutnya, Rapid KL telah mengambil tindakan pantas menegur pihak vendor terlibat di samping membincangkan tindakan untuk memastikan perkara itu tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, syarikat kontraktor pembersihan RnD Resources Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan akhbar berkata, tindakan tata tertib telah diambil kepada kakitangan terbabit.




“Pihak kami memohon maaf kepada pengguna LRT Laluan Ampang dan Rapid KL atas kekhilafan kakitangan pembersihan kami dalam melaksanakan kerja-kerja sanitasi tren.

“Kami memandang serius serta amat kesal dengan kejadian tersebut dan mereka akan diberi latihan semula dengan selengkapnya sebelum dibenarkan bertugas seperti biasa,” katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!