Lazada 12.12

Lari masuk hutan lepas merajuk dengan bini


Lari masuk hutan lepas merajuk dengan bini

Dipercayai merajuk kerana tidak dapat berjumpa anak dan bergaduh dengan isterinya, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke dalam hutan 


ROMPIN – Dipercayai merajuk kerana tidak dapat berjumpa anak dan bergaduh dengan isterinya, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke dalam hutan berdekatan Kampung Kundang, Muadzam Shah di sini kelmarin.

Difahamkan Zali Yasa,19, menghadapi masalah rumahtangga sejak beberapa bulan lalu sehingga memaksa campur tangan keluarga, namun masih berlarutan sehingga kini.

Mangsa yang terlalu merindui anaknya cuba berjumpa kanak-kanak itu tetapi dihalang oleh isterinya menyebabkan dia berasa kecewa.

Mangsa kemudian meninggalkan motosikal di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam hutan.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd. Azahari Mukhtar berkata, operasi mencari mangsa ditumpukan di kawasan hutan berhampiran kawasan motosikal yang ditinggalkan tidak jauh dari rumah keluarga isterinya.

“Kawasan hutan itu tidak terlalu luas dan dikelilingi ladang kelapa sawit dan hutan yang telah diteroka.

“Operasi mencari dilakukan 20 anggota polis dan bomba selain dibantu 25 penduduk Orang Asli,” katanya hari ini.

Tambahnya, Unit Anjing Pengesan Jabatan Bomba dan Penyelamat akan tiba petang ini bagi mengesan lelaki tersebut.

Berdasarkan maklumat awal, punca lelaki berkenaan menghilangkan diri adalah kerana masalah rumah tangga.

“Ini kes keempat operasi mencari orang hilang dilakukan sepanjang tahun ini dan kes pertama membabitkan Orang Asli di daerah ini,” ujarnya.

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!