Dua pegawai SPRM lari lintang pukang selepas didakwa rasuah


Dua pegawai SPRM lari lintang pukang selepas didakwa rasuah

"Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa bagi menyerahkan RM40,000 untuk menyelesaikan kes dalam siasatan agensi berkenaan."


JOHOR BAHRU- Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berlari laju keluar dari Mahkamah Sesyen  selepas didakwa atas pertuduhan rasuah di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh yang memakai topeng muka dan baju berhud itu berbuat demikian kerana tidak mahu wajah mereka dirakam jurugambar dan video wakil-wakil media.

Dalam kejadian kira-kira 12. 45 tengah hari itu, salah seorang daripada mereka juga terjatuh di tangga mahkamah.

Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen yang sama atas pertuduhan menipu seorang penguat kuasa bagi menyerahkan RM40,000 untuk menyelesaikan kes dalam siasatan agensi berkenaan.

Salah seorang tertuduh, Amir Izham Isahak, 32, mengaku bersalah manakala seorang lagi, Wan Kamarul Za’im Mansor, 34, pula mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kedua-dua tertuduh itu didakwa bersama sebagai ejen kerajaan iaitu Penolong Penguasa P29 SPRM Kluang dan Penguasa P42 di SPRM Cawangan Kluang dan SPRM Johor Bahru bagi mencapai niat bersama telah menipu dengan memperdayakan seorang individu.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa  memperdayakan seorang individu dengan mendorongnya memberi mereka wang tunai RM40,000 kepada dengan balasan kononnya mereka boleh membantu menyelesaikan kes yang disiasat SPRM ke atas individu terbabit.

Perbuatan  itu dilakukan di sebuah restoran dalam Daerah Simpang Renggam kira-kira pukul 7.57 malam pada 14 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili Mohd Salleh Togimin dan Wan Kamarul Zaim pula diwakili Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM35,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Wan Kamarul Zaim memohon mahkamah memberikan jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana tertuduh perlu menanggung isteri yang hamil tiga bulan serta empat anaknya.

Hakim kemudian memerintahkan Wan Kamarul Zaim dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 24 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.




Sementara itu, Mohd Salleh Togimin juga memohon mahkamah supaya keputusan kes Amir Izham ditangguhkann ke tarikh lain.

Amir Izham turut dibenarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian memutuskan kes Amir Izham juga disebut semula  pada 24 November depan.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!