Anjing disangka harimau


Anjing disangka harimau

Kulim: Kejam dan tidak berhati perut. Itu ungkapan sesuai buat individu yang tergamak menyembur cat pada badan seekor anjing yang ditemui sudah mati supaya ia kelihatan mirip harimau.

Dalam video berdurasi 39 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun aplikasi TikTok menunjukkan bangkai anjing yang dicat mirip harimau itu dibiarkan di tepi jalan berhampiran sebuah pasaraya, di sini semalam.

Individu terbabit mendakwa yang dia dalam perjalanan pulang dan memaklumkan tidak menyangka masih ada lagi harimau di kawasan taman tempat tinggalnya itu.

Pemilik akaun TikTok itu juga mendakwa yang anjing terbabit adalah anak harimau dan bernasib malang kerana mati selepas dilanggar.

Malah, dia sempat berpesan kepada penduduk supaya berhati-hati kerana kononnya bangkai anjing berkenaan adalah harimau belang yang berkeliaran di kawasan perumahan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada badan anjing terbabit disembur ketika ia masih hidup atau sudah mati.

Selain itu, foto tiga anjing dengan badan seekor daripadanya disembur cat mirip harimau turut tular di media sosial.

Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada anjing yang disembur cat itu adalah haiwan sama yang video bangkainya dimuat naik pemilik akaun TikTok terbabit.

Setakat ini, motif individu yang menyembur cat pada badan haiwan terbabit masih belum diketahui namun tindakan itu mengundang kecaman warganet di media sosial.




Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kes terbabit semalam dan mendapati haiwan yang didakwa harimau itu adalah palsu.

"Kakitangan Perhilitan yang membuat pemeriksaan mendapati haiwan berkenaan sebenarnya adalah anjing yang disembur cat dan kelihatan mirip harimau.

"Kita tidak pasti motif sebenar individu yang sanggup berbuat demikian terhadap anjing terbabit dan kejadian sebegini memang amat dikesali," katanya ketika dihubungi.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!