Warga emas cedera ditetak anak saudara


Warga emas cedera ditetak anak saudara

MERSING – Seorang lelaki tergamak menetak bapa saudaranya sendiri menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di sebuah premis perniagaan di Jalan Jemaluang Mersing Kecil di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa berusia 61 tahun mengalami kecederaan pada tapak tangan kiri dan paha kanan.

Difahamkan, suspek berusia dalam 40-an dikatakan tidak berpuas hati dengan caj yang mahal dikenakan ketika berurusan di kedai membaiki motosikal milik bapa saudaranya.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tetak itu pada pukul 6.42 petang.

“Kejadian berlaku di hadapan sebuah kedai motosikal di Jalan Jemaluang. Suspek merupakan anak saudara mangsa bertindak melarikan diri selepas menetak mangsa.

“Ekoran kejadian itu mangsa telah cedera di tapak tangan kiri serta paha kanan dan telah dirawat di Hospital Mersing,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Cyril berkata, bertindak atas maklumat pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing berjaya menangkap suspek di sebuah rumah di Taman Intan Mersing pada hari yang sama.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!