Pilih salah satu, suntik vaksin atau dilarang berniaga


Pilih salah satu, suntik vaksin atau dilarang berniaga

Melaka: Peniaga serta penjaja di negeri ini berdepan kemungkinan diarah tutup operasi dan dibatalkan lesen perniagaan sekiranya enggan menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, tindakan tegas itu akan diambil dalam memastikan keselamatan semua pihak terjamin selain mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, suntikan vaksin ini perlu diambil bagi setiap peniaga sebagai persiapan dalam memberi keyakinan dan jaminan kepada orang ramai terutamanya pelancong apabila gerbang pelancongan domestik dibuka kelak.

"Jika enggan menerima suntikan vaksin maka jangan berniaga. Kita tidak akan benarkan kerana tidak mahu disebabkan seorang (enggan divaksin) ia akan membabitkan orang lain.

"Kita sudah memberi nasihat begitu juga amaran. Sekiranya masih tidak mahu dan banyak alasan, saya akan membatalkan lesen perniagaan serta menutup perniagaan mereka," katanya pada program Projek Rumah Baiti Jannati TNB, yang turut dihadiri Pengurus Besar TNB Melaka Ahmad Fadhil Aziz, di Kampung Baroh, Bachang, di sini, tadi.

Beliau berkata, pihaknya menyeru orang ramai termasuk peniaga serta penjaja yang masih belum mendapat suntikan vaksin untuk hadir ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Sehingga kini, 20 peratus peniaga dan penjaja kecil di Melaka masih belum lengkap menerima dos suntikan vaksin.

"PPV mega dan kehadiran secara 'walk-in' sudah dibenarkan tetapi kurang mendapat sambutan. Jadi saya minta peniaga yang masih belum menerima vaksin supaya mendapatkannya segera," katanya.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!