Penduduk gempar buaya naik ke darat


Penduduk gempar buaya naik ke darat

Bagan Serai: Kehadiran seekor buaya yang naik ke darat di Kampung Nibong Hangus, Kuala Kurau, di sini, hari ini, menggemparkan penduduk setempat.

Berdasarkan maklumat penduduk, kejadian berlaku pada 6.30 pagi ketika nelayan hendak turun ke sungai.

Penduduk dikenali sebagai Mat, 40, berkata kejadian buaya naik ke daratan di kampung itu belum pernah berlaku dan ia menimbulkan kegusaran kepada penduduk dan komuniti nelayan.

"Penduduk menyedari seekor buaya berada berhampiran sampan di dalam parit berhampiran sungai ini.

"Jika lihat pada keadaan perut buaya itu berkemungkinan ia hendak membuat sarang untuk bertelur.

"Tetapi, ada juga kemungkinan ia naik ke daratan disebabkan keadaan air di Sungai Kurau yang penuh akibat hujan lebat," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ketika dihubungi memaklumkan pihaknya pergi ke lokasi kejadian selepas menerima aduan penduduk.

Menurutnya, pemeriksaan di kawasan video tular itu mendapati ada kesan kehadiran reptilia itu, namun usaha menjejakinya tidak berjaya.

"Buaya itu mungkin sudah masuk semula ke Sungai Kurau. Hujan lebat pada awal pagi menyebabkan paras air naik dipercayai menjadi punca buaya itu naik ke terusan di kampung berkenaan.

"Kami meletakkan papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan diminta menghubungi Perhilitan jika terserempak dengan haiwan itu," katanya.

Video berdurasi 26 saat merakamkan seekor buaya berada di daratan berhampiran tempat meletak sampan di Kampung Nibong Hangus tular di media sosial, hari ini.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!