Bapa rogol, seks luar tabii terhadap anak kandungnya sendiri.. Bekas tentera meringkuk dalam penjara 24 tahun


Rogol, seks luar tabii: Bekas tentera meringkuk dalam penjara 24 tahun

PUTRAJAYA – Seorang bekas tentera diperintah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara 24 tahun atas kesalahan merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anak kandungnya yang ketika itu berusia 17 tahun, lima tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Heng Cheong selepas membenarkan rayuan silang pendakwa raya.

Panel tersebut memerintahkan hukuman penjara 18 tahun dan enam tahun yang diputuskan berjalan serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, dikuatkuasakan secara berasingan bermula hari ini.

Perayu, 45, (namanya tidak didedahkan kerana mempunyai pertalian dengan mangsa) sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu pelupusan rayuan di hadapan panel berkenaan.

Lelaki itu disabitkan melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada pukul 2.30 pagi, 15 Mac 2016.

Hakim Abdul Karim ketika menyampaikan keputusan berpendapat, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara terhadap lelaki itu berjalan serentak.

Panel itu berpuas hati kes rogol dan seks luar tabii merupakan kesalahan berbeza dan hukuman sepatutnya berjalan secara berturutan.



Pada prosiding itu, mahkamah menolak rayuan bekas tentera tersebut terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya.

Pada 27 November 2019, lelaki itu dipenjara 18 tahun dan 10 sebatan serta enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah melakukan kedua-dua perbuatan terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

Mahkamah Sesyen bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu 18 tahun dengan 15 sebatan. Hukuman itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Jun tahun lalu.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan manakala pendakwaan bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377 (B) kanun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Noordin Hussin mewakili lelaki berkenaan.

@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!