Lelaki meninggal dunia selepas jatuh tangga


Lelaki meninggal dunia selepas jatuh tangga

KUCHING: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri akibat tergelincir di tangga sebuah rumah sewa di Batu 7, Jalan Penrissen pada Jumaat. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, dalam kejadian yang dilaporkan sekitar jam 9.35 malam itu, mangsa yang disahkan meninggal dunia dikenali Jerry Bigali, 55, bekerja sebagai pemandu lori berasal dari Kota Samarahan. 

"Pasukan paramedik yang sampai di lokasi telah memeriksa dan mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. 

"Mangsa dipercayai telah tergelincir dan terjatuh ketika berada di tangga yang mempunyai 10 anak tangga," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, sebelum kejadian itu, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan kekasihnya. 

Jelas Lim, ekoran itu, seorang penjaga rumah lelaki berusia, 22, telah menegur dan menasihati mangsa agar tidak bergaduh kerana malu dengan jiran-jiran bersebelahan yang tinggal dalam bilik berasingan dalam rumah sewa tersebut. 

"Mangsa kemudian telah keluar dari bilik dan menuju ke arah tangga dan semasa penjaga masih bercakap dengan kekasih mangsa di hadapan bilik mereka, tiba-tiba mereka terdengar ada bunyi benda jatuh. 

"Mereka terus menoleh lalu menuju ke arah tangga dan mendapati mangsa telah terbaring di bawah ruang kaki lima antara anak tangga," dedahnya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu, menurut adik mangsa, mangsa mempunyai penyakit darah tinggi, asma serta kencing manis dan pernah seketika ditahan di wad akibat penyakit asma kronik yang dihidapinya. 

"Siasatan di tempat kejadian tidak mengesyaki adanya unsur-unsur perbuatan jenayah," ujarnya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. 

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut. 


@liputan_7

Kongsikan artikel ini kepada kenalan anda supaya mereka juga tahu apa yang anda tahu!



Join channel Telegram Liputan7 untuk update berita tanpa had!