MALAYSIA HARI INI

2 individu menyamar sebagai 'polis' ditahan selepas samun remaja


2 individu menyamar sebagai 'polis' ditahan selepas samun remaja

Ampang: Dua lelaki ditahan, semalam, selepas disyaki menyamar sebagai polis dan menyamun seorang lelaki di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menghala ke Taman Melawati dekat sini, pada 16 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 36 dan 40 tahun di Kampung Klang Gate Baharu, di sini, jam 10.30 malam.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas beberapa telefon bimbit, topi keledar, barangan dan pakaian berlogo polis, dua motosikal Yamaha dan kereta Proton Perdana.

"Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai juruwang menunggang motosikal di lebuh raya itu sebelum motosikalnya ditahan suspek yang memperkenalkan diri sebagai polis.

"Suspek kemudian membuat pemeriksaan di badan dan beg silang mangsa. Suspek mengambil beg silang dan kunci motosikal mangsa yang turut diugut akan dicederakan jika barangannya tidak diserahkan kepada suspek.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun kerugian wang tunai RM700, telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, modus operandi suspek adalah menyamar sebagai polis dan mensasarkan remaja bersendirian di kawasan sunyi.

"Kedua-dua suspek adalah penganggur dan mempunyai 30 rekod jenayah membabitkan perbuatan khianat, rusuh, curi kenderaan serta menyamar sebagai polis.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamin.

"Dengan penahanan dua suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun di Ampang dan empat lagi kes di Gombak serta Setapak," katanya.

Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan suspek lain yang dipercayai terbabit dengan kegiatan itu.

"Dua suspek itu direman tujuh hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian kepada keselamatan diri dan peka dengan keadaan sekeliling.

"Mereka yang pernah menjadi mangsa kepada modus operandi samun itu diminta tampil membuat laporan polis untuk membantu siasatan," katanya.

JANGAN LUPA SHARE ARTIKEL INI KEPADA KELUARGA DAN RAKAN ANDA! SUPAYA MEREKA JUGA TAHU APA YANG ANDA TAHU




LAZADA 9.9

LAZADA 9.9

Super Shopping Day! 30% Cashback!